Allah takkan uji kita lebih dari kadar kemampuan kita. apa
tafsirannya? Allah akan uji bila Dia mahu berikan kekuatan. Mampu dan
Kekuatan. Itulah dua kunci utama apabila Allah SWT mahu memberikan
sebarang ujian. Saya masih kadangkala kurang mengerti tatkala frasa itu
menerjah minda untuk mengasak pemikiran ketika itu.
Setelah
saya perhatikan dari sebahagian sudut, saya ternampak sesuatu yang
menarik dalam siri ujian yang Allah timpakan buat kita hambaNya.
Allah menguji ‘kemampuan’ kita itu dalam konteks KELEBIHAN yang kita ada.
Teringat
saya pada kisah Nabi Yusuf a.s, Allah mengurniakan baginda dengan
ketampanan rupa paras yang sangat luar biasa. Lalu, baginda diuji dengan
fitnah dari Zulaikha ketika itu. Gara-gara apa? Bukankah semuanya
kerana ketampanannya?
Lihat pula kisah Muhammad Rasulullah
SAW, saya paling tertarik untuk menyerlahkan peribadi baginda yang
sangat dipercayai oleh seluruh masyarakat Arab Mekah ketika itu sebelum
Baginda membawa sinar Islam. Namun apabila
Rasulullah telah
diperintahkan untuk menybarluaskan Islam ketika itu, Nabi dituduh
sebagai pendusta. Ke mana hilangnya gelaran al-Amin yang didukung oleh
mereka terhadap nabi sebelum ini?
Lihat, Allah itu tidak
pernah kejam apabila menguji hambaNya. Kadar kemampuan kita sendiri yang
diuji itu adalah melalui kekuatan kita. Hanya sisi kekuatan kita yang
kerap teruji! Jadi mengapa keluhan berat harus dilepaskan tatkala
berdepan dengan sesuatu mehnah ujian? Kekuatan yang teruji itu mahu
menutupi ruang kelemahan sekaligus memperkuat apa yang kita tidak pernah
sangkakan terjadi dalam hidup kita.
Apabila mengharungi
ujian, Dia titipkan bersama kekuatan. Sehinggakan kita tidak pernah
sedar bahawa kita telah berjaya mengharunginya, sedangkan kekuatan itu
muncul entah dari mana. Ujian untuk melahirkan kesyukuran, menikmati
setiap inci kurniaan yang telah diberikan dan sejauh mana kita mampu
untuk bertahan dan menggunakannya supaya tidak pernah kita merasa
keluh-kesah dengan ujian tersebut.
Kepandaian? itu suatu
ujian. barangkali juga suatu nikmat. pilhan terletak pada tuan empunya
diri, sama ada mahu mengklasifikasi itu nikmat ataupun ujian. kepandaian
itu boleh menjadi nikmat dan kelebihan seseorang. namun kekuatan dan
kelebihan itu bisa juga teruji bila-bila masa. Saat itu, nikmat tadi
telah bertukar menjadi ujian. Pandai tidak selamanya menjadi hak hakiki
anda andai suatu hari nikmat itu boleh diambil semula bila-bila masa.
Apabila
sesuatu yang kita rancangkan tidak menjadi, tiada juga sebarang petanda
untuk keluar dari sebarang masalah yang mendatang barangkali sudut ini
seringkali buat kita terlepas pandang. Pernahkah kita terasa begitu
teruja untuk mengetahui ‘perancangan’ Allah buat kita apabila rancangan
yang kita rencanakan itu sudah beralih? Ini juga satu ujian.
Kebanyakan
daripada kita enggan ‘berganjak’ dari jalan yang sudah kita mahukan,
hingga terlupa laluan alternatif lain yang Allah sudah sediakan buat
kita. Kita ‘terlupa’ seketika kenyataan bahawa Dialah sebaik-baik
perancang buat kita. Kita terlalu sedih apabila rancangan itu tidak
menjadi, hingga mengabaikan kunci utama dalam mengharung ujian iaitu
terus tetap berusaha tidak kiralah sama ada imbalannya itu sama seperti
bentuk yang kita harapkan ataupun ianya datang dari arah ataupun bentuk
yang lain. Namun satu yang tetap pasti, Allah tidak pernah gagal
memberikan senyuman kepada kita meskipun mengharung ujian itu sesuatu
yang mungkin lebih sukar dari apa yang disangka.
Ujian itu
peningkat darjat. Analogi mudah seperti seorang murid yang menduduki
ujian untuk menilai prestasi dirinya, untuk melayakkan dia melangkah ke
tingkat seterusnya dalam proses pembelajaran. Begitu jugalah kita. Ujian
itu perlu untuk menilai prestasi iman dalam diri kita, tiket wajib
sebelum memasuki fasa hidup yang lebih sukar dan mencabar dalam hidup.
Hidup ini adalah madrasah untuk belajar dan mencari ilmu untuk
memperkukuhkan ketahanan diri dalam mempersiapkan hati yang cekal dan
benar-benar layak sebelum dikira sebagai sebahagian daripada kalangan
hamba yang beriman.
“Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”,
sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut : 2)
“ Jangan pernah bersedih apabila ditimpakan dengan sesuatu ujian kerana demikianlah hidup ini diciptakan… - Imam As-Syafie.
p/s: Nukilan asal saudari Khairun Nurlisa Kamal dan dikongsi atas kebenaran penerbit,atas niat dakwah,insya'allah.
No comments:
Post a Comment